ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR,
ALLAHU AKBAR, LA ILAHA ILLALLAH WALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR WALILAHIL HAMD.
Assalamualaikum warah matullahi wabarakatuh.
Hari Raya merupakan hari kemenangan. Kita meraikan kemenangan mengalahkan hawa nafsu dan kemenangan berjaya melaksanakan perintah Allah s.w.t. sepanjang ramadhan.
Justeru, kita disunatkan untuk memperbanyakkan takbir pada hari raya. Takbir membesarkan Allah s.w.t. tanda keyakinan kita bahawa setiap kemenangan dan anugerah kenikmatan hadir dengan keizinan Allah s.w.t. Takbir ini juga menjadi dasar atau tema perayaan dalam Islam. Umat Islam disuruh bergembira di hari raya bukannya bersedih dan kegembiraan itu seharusnya mencontohi kegembiraan umat Islam dalam perang Ahzab. Segenap pelusuk bergembira sambil bertakbir membesarkan Allah s.w.t. Perang Ahzab yang berlaku pada tahun 5 hijrah apabila 3,000 tentera Islam berkubu di Madinah menghadapi 10,000 tentera Quraisy yang dibantu oleh Yahudi Madinah yang khianat.
Setelah sebulan Quraisy mengepung Madinah, akhirnya mereka keletihan, kelaparan dan curiga mencuragai. Tentera Quraisy tidak boleh menyerang Madinah kerana terdapat parit yang dibina mengelilingi Madinah. Dan akhirnya Allah s.w.t. menurunkan ribut pasir untuk mengucar-ngacirkan kedudukan tentera Quraisy.
Banyak pengajaran yang boleh diraih dari episod ini. Antaranya tentang peri pentingnya merancang dan menyusun strategi dalam mengerakkan perjuangan Islam. Kita sering diingatkan bahawa kebenaran yang tidak terancang boleh ditewaskan oleh kebatilan yang terancang.
Kesabaran, tabah, yakin serta bertawakal kepada Allah s.w.t. akhirnya akan membawa kepada pertolongan Allah s.w.t. seterusnya mencapai kejayaan seperti mana kejayaan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat mempertahankan Madinah dalam perang Ahzab.
Umat Islam juga perlu tahan ujian. Hidup insan adalah ujian dan manusia yang mampu diuji akan mendapat keredhaan Allah s.w.t. pahatilah ikrar kita dengan Allah s.w.t. pada setiap kali takbir yang kita ucapkan. Percayalah sesiapa yang menolong agama Allah s.w.t. nescaya Allah s.w.t. akan menolongnya. Sesiapa yang bertaqwa maka sesungguhnya Allah s.w.t. akan memberikan kepadanya jalan keluar dan rezeki yang tidak disangka-sangka.
Saya juga melalui ruangan ini ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas sumbangan yang telah diberikan untuk projek pembaikan dan pembangunan masjid ini. Semoga Allah s.w.t. membalasnya dengan balasan yang berganda –ganda lebih baik sama ada di dunia ini dan di akhirat nanti. Amin. Namun begitu sumbangan kita semua masih diperlukan untuk menyempurnakan keseluruhan projek fasa 1 seperti yang telah dirancangkan.
Akhirul kalam, selamat menyambut aidil fitri, minal aidin wal faizain. Kullu ‘am wa antum khair.
Wassalamu alaikum warah matullahi wabarakatuh.
Tuesday, September 21, 2010
9:46 PM
No comments
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment