Monday, August 8, 2011

Wakaf Dana Fasa 2


Sejak tahun 1998 berikutan dengan pembinaan masjid baru, Masjid Jamek Lama Gopeng telah terbiar tanpa dilakukan sebarang pembaikan atau penyelenggaraan. Masalah besar yang dialami ketika itu ialah banjir dan atap bocor setiap kali hujan lebat.

FASA 1

Akhirnya, pada Feb 2010 Jawatankuasa Masjid bersetuju untuk memulakan usaha kutipan dana bagi pembaikan dan pembangunan Fasa 1 yang bermula daripada Feb 2010 sehingga Mac 2011. Jawatankuasa mensasarkan kutipan RM 100 ribu perlu dikutip bagi menjayakan kebanyakannya usaha-usaha pembaikan dan selebihnya usaha pembangunan.

Alhamdulillah, dalam Fasa 1 kutipan yang berjaya diperolehi sebanyak RM110 ribu. Maka pada Julai 2010 bermulalah kerja-kerja pembaikan. Antara kerja-kerja yang telah dilakukan ialah pembinaan laluan berbumbung muslimat, pembinaan anjung kiri dan anjung kanan masjid, menambak semula kawasan sekeliling masjid, pembinaan stor dan tandas muslimat (tapak surau lama), menyukat serta membina semula pagar kawasan masjid dan membaiki sistem kubahan najis serta sistem saliran.

FASA 2

Bersempena kehadiran Dato’ Dr Haron Din pada 13 Mac 2011 pihak Jawatankuasa telah mengambil daya usaha melancarkan kutipan dana Fasa 2 yang tujuan utamanya untuk pembaikan dan pembinaan bangunan 2 tingkat yang akan dinamakan sebagai Bangunan Tarbiah Dan Tadbir. Usaha ini dianggarkan akan menelan belanja sebanyak RM400 ribu.

InsyaAllah dengan terbinanya nanti bangunan ini akan tersempurnalah harapan ahli jamaah dan kariah masjid. Dengan itu juga aktiviti seperti usrah, kuliah muslimat, tuisyen, urusan pentadbiran, mesyuarat, kursus, seminar dan pelbagai lagi aktiviti akan dapat dijalankan dengan lebih selesa.

0 comments:

Post a Comment