Monday, August 8, 2011

Sejarah Ringkas Masjid


Masjid ini bermula dengan bangunan kayu 2 tingkat lebih dari 100 tahun dulu dan ada catatan di Museum Gopeng mencatatkan dibina pada tahun 1890. Bangunan kayu ini telah dirobohkan pada hujung 2009.
Pada tahun 1927 telah didirikan bangunan utama masjid yang ada sekarang. Dari segi fizikalnya, masjid ini tidak memiliki kubah tetapi bumbungnya didirikan sebanyak 3 lapis dan menirus di puncak sebagaimana seni bina Melayu lama. Masjid ini telah dirasmikan oleh Sultan Perak ketika itu iaitu Sultan Iskandar Shah. Sejak tahun 1927 sehinggalah sekarang, masjid ini terus berfungsi sebagai sebuah institusi keagamaan dan kemasyarakatan. Apabila terbinanya masjid baru maka masjid ini tidak lagi mendirikan solat jumaat iaitu sekitar tahun 2000.
Beberapa pengubahsuaian telah dilakukan seperti menjadikan kawasan kolah asal masjid sebagai kawasan solat dan membina kolah yang baru. Pengubahsuaian lain yang dilakukan ialah pembinaan rumah siak.
Masjid ini pernah melalui titik hitam apabila ditutup hampir setahun oleh pihak tertentu. Beberapa individu mengambil inisiatif merujukkan perkara ini kepada pejabat mufti. Akhirnya, masjid ini dapat dibuka semula sehingga sekarang.
Antara waris yang masih berhubung rapat dengan pihak masjid sekarang ialah Puan Noorlia Bt Abdul Majid yang kini menetap di Kuala Lumpur.
Penyumbang utama pembinaan masjid ini ialah Allahyarham Malim Sabar. Allahyarham dan keluarga telah mewakafkan tanah dan sejumlah besar wang untuk pembinaan masjid ini.
Kemudian usaha murni ini telah diteruskan oleh anak allahyarham iaitu Abdul Majid bin Malim Sabar bersama beberapa orang rakan yang lain.. 
(Allahyarham Abdul Majid bin Malim Sabar diambil pada 1951 - meninggal dunia pada 26 Ogos 1956 ketika berusia 68 tahun)
Allahyarham Abdul Majid tinggal bersebelahan dengan masjid dan setelah allahyarham meninggal dunia, rumah tersebut telah didiami oleh anak perempuan allahyarham iaitu Zaleha bt Abdul Majid. Zaleha adalah waris terakhir yang tinggal di rumah tersebut. Setelah beliau meninggal dunia rumah tersebut tidak lagi didiami. Pada tahun 2009 rumah ini telah dirobohkan berikutan kerja-kerja pengubahsuaian masjid yang dilakukan.
(Gambar di atas adalah sebahagian pelan pembangunan asal bertarikh 29 Sept 1926 yang masih ada dalam simpanan jawatankuasa masjid)

0 comments:

Post a Comment